KOTA KINABALU, 20 September – Skuad Sukarelawan Barisan Nasional (BN) Sabah kini ditubuhkan sebagai pasukan tetap bagi membantu mangsa bencana di seluruh negeri.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan skuad itu akan memastikan gerak kerja lebih tersusun dan berkesan di setiap kawasan.
Menurutnya, skuad berkenaan akan didaftarkan secara rasmi serta digerakkan di 25 kawasan Parlimen dengan penyelarasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / Foto Bernama
“Berdasarkan keperluan di kawasan, rumah dan tempat tertentu, kita akan mencari dana melalui beberapa badan korporat selain daripada UMNO dan BN sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pelepasan (flag off) Skuad Sukarelawan BN Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyentuh mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, dengan menegaskan BN hanya akan menumpukan kepada kerusi yang berpotensi besar untuk dimenangi.
Beliau turut menyatakan keyakinan BN dapat menambah jumlah kerusi berbanding 14 yang dimenangi pada pilihan raya lalu.