fb fb fb fb fb

Malaysia serah kepengerusian AIPA 2026 kepada Filipina

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 September- Malaysia secara rasmi menyerahkan kepengerusian Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) kepada Filipina untuk edisi tahun hadapan.

Upacara penyerahan itu disempurnakan menerusi pertukaran dokumen dan penyerahan simbolik iaitu tukul serta bendera AIPA oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kepada Ketua Delegasi Filipina, Raymond Democrito C. Mendoza.

Jelas Tan Sri Johari, Malaysia berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk mempengerusi dan menjadi tuan rumah persidangan tersebut sempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025.

Tambahnya, sepanjang kepengerusian Malaysia, fokus bukan sahaja terarah kepada resolusi, sebaliknya turut menitikberatkan pengukuhan penjenamaan, komunikasi dan keterlibatan AIPA agar kekal relevan kepada masyarakat ASEAN.

"Kami berbesar hati menjadi tuan rumah kepada wakil daripada kesemua sembilan Parlimen ahli AIPA bersama 21+1 pemerhati, termasuk Parlimen Kebangsaan Algeria, Sepanyol serta Inter-Parliamentary Speakers Controller (ISC). Perbincangan kali ini telah melangkaui sekadar dialog kepada tindakan konkrit melalui enam mesyuarat produktif jawatankuasa tetap meliputi politik, ekonomi, sosial, WAIPA, YPA dan organisasi.

Kami turut memajukan keutamaan serantau serta memperkukuh keterlibatan multilateral. Selain itu, kami memudah cara perbincangan penting dalam AIPA-ASEAN Hearing keempat dan Forum Pemimpin Politik WAIPA kedua, di samping mengadakan 14 dialog bersama para pemerhati," kata Tan Sri Johari dalam sidang media, hari ini.

Sementara itu, Tan Sri Johari mengulas lanjut, buat julung kalinya Model AIPA ke-5 dianjurkan di luar Jakarta dan berlangsung di Kuala Lumpur, sekali gus memperluas penyertaan belia dalam proses parlimen.

Penganjuran itu turut diserikan dengan Persidangan dan Pameran “Now & Future” yang menghimpunkan pembuat dasar, golongan muda, komuniti perniagaan serta masyarakat sivil.

“Inisiatif ini telah merapatkan diplomasi Parlimen melalui kerjasama nyata merangkumi aspek inovasi, keterangkuman dan kelestarian,” katanya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM