fb fb fb fb fb

Aidilfitri: Lebih 2 juta kenderaan dijangka guna Lebuhraya PLUS

Antara laluan Lebuhraya PLUS menerusi kamera pengawasan

SELANGOR, 29 Mac- Kira-kira 2.1 juta kenderaan sehari dijangka menggunakan semua rangkaian lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada hari puncak sempena cuti perayaan Aidilfitri yang menjelang tiba.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hari-hari puncak itu adalah pada 5, 6, 9, 12, 13 dan 14 April ini.

Katanya, angka trafik berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding 1.82 juta trafik sehari pada hari-hari biasa.

"PLUS menyediakan lebih 4500 petugas dalam ekosistem lebuh raya kendaliannya sepanjang musim perayaan ini.

"Sebagai persediaan, PLUS menugaskan seramai 70 kakitangan di Pusat Pemantauan Trafik PLUS (TMC) PLUS sehari pada waktu-waktu puncak untuk memantau, mengumpul dan menyalur maklumat trafik terkini serta menyelaras bantuan kepada pengguna lebuh raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan persediaan PLUS menghadapi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri di Menara Korporat, Persada PLUS di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihak PLUS akan mengaktifkan laluan SmartLane di 18 lokasi kritikal di sepanjang lebuh raya PLUS bagi membantu penyuraian kesesakan trafik yang dijangka sempena perayaan Aidilfitri ini.

"Jumlah Smartlane berkenaan akan membabitkan tiga di bahagian utara, sembilan di bahagian tengah dan enam di bahagian selatan serta akan memberikan papan tanda smartlane pada jarak 1 kilometer (km) dan 500 meter sebelum memasuki laluan Smartlane berkenaan," katanya.

Pengguna juga dinasihatkan untuk memastikan baki kad Touch 'n Go atau eWallet mencukupi dan bateri alat peranti pengimbas berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

SITI AISHAH MD ISA