TELUK INTAN, 29 Mac- Sebuah premis di Kompleks Menara Condong Teluk Intan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Ops Samar selepas disyaki menyembunyikan stok minyak masak bersubsidi 1 kilogram.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan dibuat hasil aduan diterima daripada orang awam.
Beliau berkata, susulan itu tindakan penyamaran dilakukan KPDN.
Jelasnya, peniaga memaklumkan bahawa stok bekalan minyak masak paket telah habis dan tidak menerima bekalan sejak satu minggu lalu daripada pembekal.
Curiga dengan jawapan tersebut, KPDN kemudian menyerbu dan memeriksa premis serta stor simpanan perniagaan berkenaan.
Hasilnya sebanyak 139 paket 1 kilogram minyak masak bersubsidi telah dijumpai di dalam stor simpanan milik peniaga.
Berikutan itu, satu arahan pengistiharan stok mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diserahkan kepada pemilik premis.
Beberapa dokumen belian serta jualan turut disita untuk siasatan lanjut.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM347.
Secara keseluruhan operasi dijalankan berjaya menghasilkan lapan kes pelbagai kesalahan iaitu tiga kes bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan lima kes bawah Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011.