fb fb fb fb fb

Dua maut, bas terbalik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak

FOTO APM PAHANG

KUANTAN, 29 Mac- Dua maut manakala 13 lagi cedera, selepas bas yang mereka naiki terbalik di kilometer 51.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8 pagi.

Beliau berkata, nahas membabitkan bas persiaran yang membawa 19 penumpang sedang menuju ke arah Kuantan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur.

“Selain dua mangsa, pemandu bas dan seorang wanita cedera parah, 11 lagi dilaporkan cedera manakala lima lagi mangsa melarikan diri tanpa cedera,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut termasuk seorang lelaki warganegara asing dan seorang lagi penumpang wanita yang masih belum dikenal pasti.

Katanya, mayat mangsa dan penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Bentong untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal polis mendapati bas berkenaan hilang kawalan lalu terbalik dan melintang di atas jalan yang mana semasa kejadian keadaan jalan adalah basah.

Supt Zaiham turut menegaskan tiada mangsa terperangkap di bawah bas, seperti yang didakwa dalam sebuah klip video yang tular di laman sosial.

Kemalangan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh beberapa kilometer dari lokasi berkenaan.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati seorang mangsa tersepit di dalam bas.

Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

2903 KEMALANGAN KARAK 3
FOTO PENGGUNA MEDIA SOSIAL

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE