SUNGAI UDANG, 19 April-Keceriaan terpancar di wajah seorang ibu tunggal yang tidak sabar untuk menyambut ketibaan aidilfitri bersama anak tercinta selepas dipisahkan oleh tirai besi sejak beberapa bulan lalu.
Bagi Azah (bukan nama sebenar), dia sanggup menaiki bas ke penjara Sungai Udang, Melaka bagi menjemput anak perempuannya Nurul (bukan nama sebenar) 30 tahun yang diberikan Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) hari ini.
Tiada apa yang dapat menggembirakan hati seorang ibu apabila dapat bersama semula dengan anaknya selepas anaknya ditahan atas kesalahan mengambil dadah awal Februari lalu.
Beliau bersyukur Nurul dapat dibebaskan awal dari tarikh sebenar iaitu 12 Mei depan sekaligus berpeluang dapat berpuasa dan beraya bersama.
"Ya Allah..Saya memang rasa terharu. Hari ini adalah tarikhnya. Saya bertekad untuk menjemputnya (anak perempuan)", kata Azah.
Sementara itu, bagi bekas banduan Azlan (bukan nama sebenar),55 tahun berkata pengalaman selama tiga bulan di penjara membuatkan dirinya insaf dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan dan kesalahan yang sama.
Katanya lagi, menerusi pembebasan awal itu, dia mampu menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan cucunya yang baru dilahirkan.
"Saya cukup gembira dapat pulang awal bagi bersama keluarga dengan kehadiran cucu baharu. Keluarga saya sangat-sangat memberi sokongan dan menolong walau pun saya sentiasa buat kesalahan", katanya.
Dalam pada itu, seramai 18 orang diberi Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dengan untuk memberi peluang kepada banduan meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di Penjara Sg Udang, di sini.
(Bekas banduan, Azlan ditemu bual oleh petugas media RTM/FOTO RTM)