IPOH, 19 April- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menempatkan pasukannya di tiga plaza tol utama di negeri berkenaan, setiap hari sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya menempatkan anggota dan aset di Plaza Tol Taiping, Kamunting dan Kuala Kangsar untuk memudahkan operasi menyelamat sekiranya berlaku kemalangan atau kebakaran pada musim perayaan ini.
Jelasnya, pasukan itu akan bertugas secara bergilir-gilir selama 24 jam bagi memastikan risiko kemalangan dapat dikurangkan.
"Sempena musim perayaan Aidilfitri setiap tahun, sebagai agensi penyelamat dalam negara sememangnya kita akan memberikan perhatian yang khusus dalam menangani sesuatu isu.
"Antara langkah yang diambil ialah membekukan cuti, hanya 20% dibenarkan bercuti di seluruh negeri Perak. Anggota dan pegawai kita hadkan kepada 20%. walaupun angka itu bercuti tetapi sekiranya ada bencana-bencana yang serius maka mereka akan dipanggil untuk membantu bagi melaksanakan tugas berkenaan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Bersama Pengusaha-pengusaha Hotel di Ipoh Perak.
Tambahnya, JBPM Perak menggerakkan lebih 2,000 anggota termasuk pasukan bomba komuniti dan sukarela sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
(Azmi Osman)