fb fb fb fb fb

APAD lulus 256 bas tambahan sempena Aidilfitri

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 19 April-Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) meluluskan sebanyak 256 bas tambahan melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tiket untuk balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 2023.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berbanding tahun 2022, sebanyak 98 bas tambahan telah diluluskan oleh APAD.

"Ini menunjukkan terdapat peningkatan permintaan dari pengguna sekaligus mencerminkan tanda-tanda pemulihan ekonomi negara khususnya dalam sektor pengangkutan awam selepas negara beralih kepada fasa peralihan endemik pada 1 April 2022," katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, hari ini.

Kementeriannya melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kekal dengan faktor keselamatan menjadi dasar keutamaan Kementerian Pengangkutan. Ini terbukti melalui komitmen dalam memastikan bas-bas tambahan yang diluluskan akan disaring bagi mematuhi semua kriteria-kriteria permohonan seperti yang telah diluluskan pemeriksaan keselamatan kenderaan PUSPAKOM, pemasangan GPS dan perlu sentiasa berfungsi bagi memantau pergerakan serta merekod kelajuan kenderaan.

Sementara itu, Anthony berkata, pihak pengendali terminal TBS juga mengambil langkah-langkah persediaan untuk menampung jumlah penumpang yang tinggi bermula 18hb April sehingga 22 April 2023.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, TBS menambah jumlah kakitangan, kaunter tiket dan kaunter pertukaran tiket dan kawalan keselamatan selama 24 jam oleh Unit Polis Bantuan dipertingkatkan dengan kerjasama PDRM.

"Pemantauan keselamatan berterusan melalui 623 buah CCTV untuk keselamatan orang awam dan pihak TBS juga telah menambahkan kakitangan terminal bagi mengawal pengurusan trafik untuk mengawal selia laluan di sekitar terminal," katanya.

Selain itu, operasi bersepadu bersama-sama pihak JPJ dan PDRM turut diadakan.

"Pihak berkuasa akan membuat pemeriksaan kenderaan dan dokumen bagi menjamin ketersediaan pemandu dan keadaan fizikal bas supaya selamat digunakan sepanjang musim perayaan ini," katanya.


(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak,
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengadakan lawatan di Terminal
Bersepadu Selatan
(TBS)/FOTO RTM)  

Media Baharu