fb fb fb fb fb

Ahmad Said sedia berkhidmat, Kemaman dekat di hati

KEMAMAN, 2 November- Bakal calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Said bersedia untuk berkhidmat jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana sudah memahami keperluan masyarakat di kawasan itu. 

Beliau berkata, Kemaman sangat dekat di hatinya kerana beliau dilahirkan dan membesar di kawasan Parlimen itu.

Ia sekali gus menjadi nilai tambah baginya setelah dipilih kepimpinan BN untuk bertanding di situ. 

"Kita sedia maklum bahawa kita kalah pilihan raya yang lepas, bukan kerana UMNO tidak kuat tetapi apabila ada perpecahan yang membawa UMNO lari kepada parti ketiga dan oleh kerana pelbagai janji dan sebagainya, akhirnya kita tewas.

Tetapi saya yakin dan percaya bahawa Kemaman memerlukan khidmat daripada saya. Sebelum ini saya berkhidmat untuk Kijal dan saya boleh beri tumpuan kepada Parlimen Kemaman," katanya di sini.

(Datuk Seri Ahmad Said bersalaman dengan penyokongnya di perkarangan kediaman beliau di sini)

Datuk Seri Ahmad yang juga Pengerusi BN Terengganu berkata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga merupakan antara calon dicadangkan bagi kerusi itu.

Namun beliau terpaksa menarik diri daripada bertanding susulan faktor kesihatan.

Katanya, beliau sebelum ini pernah ditawarkan untuk bertanding kerusi Parlimen itu pada 1995 oleh Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang pada ketika itu Menteri Besar Terengganu.

Sementara itu, mengenai pencalonan bagi Parlimen Kuala Nerus, beliau berkata perbincangan telah diadakan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya tidak boleh beri jawapan tetapi jalan keluarnya ada,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengumumkan bekas Menteri Besar Terengganu itu sebagai calon yang akan bertanding pada PRU15 bagi merampas kerusi Parlimen Kemaman. 

Kerusi Parlimen itu disandang oleh Alias Abd Hamid (PAS) yang memenanginya dengan majoriti 2,163 undi, menewaskan Ahmad Shabery Cheek (BN) dan Huzaifah Md Suhaimi (PKR) pada pilihan raya umum sebelum ini.

Media Baharu