fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM terus meningkat untuk hari ketiga berturut-turut

KUALA LUMPUR, 2 November- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives terus mencatatkan peningkatan untuk ditutup tinggi bagi sesi ketiga berturut-turut hari ini, menjejaki harga minyak kacang soya dan minyak mentah yang tinggi.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak kacang soya yang kukuh dalam persekitaran ketegangan meningkat di Ukraine dan harga minyak mentah yang positif terus menyokong sentimen dalam pasaran minyak sawit.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM4,000 dan paras halangan pada RM4,500,” katanya kepada Bernama.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan minyak sawit mencatatkan kenaikan mendadak sebanyak 3 hingga 5 peratus pagi ini berikutan gabungan dua faktor luaran.

“Langkah Rusia untuk meninggalkan perjanjian bijirin Laut Hitam memberi ancaman kepada bekalan minyak makan dan kenaikan harga minyak mentah yang kukuh pada waktu Asia selain pasaran mengambil kira premium risiko ancaman Iran terhadap Arab Saudi.

“Bulan aktif niaga hadapan MSM ditutup hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan tetapi harga dijangka merosot berikutan berita mengenai keputusan Rusia untuk menyambung semula perjanjian bijirin,” katanya.

(Foto hiasan)

Laporan berita menyatakan bahawa Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu telah menghubungi rakan sejawatannya dari Turki, Hulusi Akar dan memaklumkan kepadanya bahawa perjanjian koridor bijirin akan “diteruskan dengan cara yang sama seperti sebelumnya” pada Rabu.

Pada penutup dagangan, kontrak bagi November 2022 naik RM145 kepada RM4,193 satu tan, Disember 2022 meningkat RM152 kepada RM4,324 satu tan dan Januari 2023 menambah RM165 kepada RM4,398 satu tan.

Kontrak Februari 2023 menambah RM168 kepada RM4,424 satu tan, Mac 2023 naik RM168 kepada RM4,408 satu tan manakala April 2023 tidak berubah pada RM4,202 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 65,433 lot daripada 87,355 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 265,694 kontrak daripada 288,194 kontrak semalam.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan meningkat RM150 kepada RM4,250 satu tan.

Media Baharu