fb fb fb fb fb

Laluan Tashkent - KL, rancakkan aktiviti pelancongan Malaysia, rantau Asia Tengah

SEPANG, 2 November- Pengoperasian semula penerbangan laluan Tashkent-Kuala Lumpur bakal merancakkan lagi aktiviti pelancongan antara Malaysia dan rantau Asia Tengah.

Laluan kendalian Uzbekistan Airways disambung kembali setelah dua tahun dihentikan dengan kekerapan penerbangan dua kali seminggu.

Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov yakin perkhidmatan itu mampu menggalakkan kemasukan pelancong antara kedua-dua negara.


(Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov)

"Kita ada tiga kategori iaitu pelancong, pelajar yang belajar di Malaysia, dan ahli keluarga yang ada di Malaysia. Saya harap dapat mengadakan penerbangan harian. Bagaimanapun terpulang kepada syarikat penerbangan ini untuk membuat keputusan. Sekiranya permintaan tinggi, kami harap dapat lakukan penerbangan harian", katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata pengoperasian semula penerbangan laluan Tashkent-Kuala Lumpur akan membuka ruang kepada lebih banyak laluan penerbangan baharu, khususnya daripada Asia Tengah.

"Kita juga mengharapkan, sambutan yang baik dariapada dua-dua pihak, pelancong daripada Uzbek dan saya tidak nafikan pelancong daripada Malaysia akan tingkatkan lagi frekuensi penerbangan mereka", katanya.

Sehingga hari ini, penerbangan antara kedua-dua negara telah memberi perkhidmatan kepada pembangunan dan pertukaran pengalaman dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, perubatan dan pelancongan.

Penerbangan yang disambung semula hari ini mengambil masa lebih tujuh jam dan membawa 188 penumpang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan pesawat A321Neo.

Penerbangan Tashkent - Kuala Lumpur beroperasi dua kali seminggu, setiap Rabu dan Sabtu.

Media Baharu