PUTRAJAYA, 26 Mei - Pendakwah, Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu, berkuat kuasa 23 Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan berkata, Ahmad Fauwaz merupakan tokoh ilmuwan Islam yang prolifik, berpengalaman luas dalam perundangan Islam, pendidikan, kewangan Islam dan penyelidikan.
"Ketua Pengarah dan seluruh warga Jakim merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz atas pelantikan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuat kuasa mulai 23 Mei 2025.
Beliau turut dan seluruh warga Jakim menzahirkan ucapan tahniah kepada kepada Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz atas pelantikan itu.
"Pelantikan itu yang telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mencerminkan keyakinan dan harapan tinggi kepimpinan negara terhadap kewibawaan dan kebolehan beliau dalam memimpin institusi fatwa dengan penuh integriti dan kebijaksanaan," katanya menerusi kenyataan itu.
Ahmad Fauwaz merupakan graduan Universiti Al-Azhar, Mesir, Pemegang Ijazah Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Malaya, Sijil Profesional Fatwa dan pensijilan antarabangsa sebagai Certified Shariah Advisor and Auditor (CSAA).
Aktif menyumbang kepada pelbagai institusi termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan sektor kewangan serta akademik, menjadikan beliau sebagai tokoh yang sering dirujuk dalam isu-isu semasa berkaitan hukum dan maqasid syariah.
Ilmuwan yang sering muncul di pelbagai platform media itu juga dikenali sebagai tokoh muda yang mampu menjelaskan isu-isu keagamaan secara inklusif dan mudah difahami.