fb fb fb fb fb

Pendidikan Percuma: Kerajaan pusat sokong usaha Sarawak

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melontarkan pandangannya pada sesi dialog bersama peserta pada Majlis Peluncuran KARISMA Pemimpin Muda Madani 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Mei - Kerajaan Persekutuan tiada halangan terhadap usaha Kerajaan Sarawak melaksanakan pendidikan tinggi percuma untuk anak-anak Sarawak.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, kerajaan Sarawak mempunyai kemampuan untuk merealisasikan hasrat itu terutamanya dari segi aspek kewangan.

"Usaha memberikan pendidikan tinggi percuma, ia merupakan inisiatif yang mahu dilaksanakan Kerajaan Sarawak. Maka, kita (kerajaan) tiada halangan terhadap usaha tersebut.

"Tambahan pula, kerajaan negeri mempunyai keupayaan untuk melaksanakan perkara itu. Justeru bagi saya, tidak seharusnya ada sebarang gesaan lain mengenai usaha berkenaan," katanya selepas sesi dialog bersama peserta pada Majlis Peluncuran KARISMA Pemimpin Muda Madani 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini.

Disoal adakah wujud keperluan melakukan kajian dalam pelaksanaan pendidikan percuma di Sarawak, jelas beliau perkara tersebut seharusnya di bawah pertimbangan kerajaan negeri.

"Saya berpandangan itu pihak kerajaan Sarawak. Ia mudah sahaja. Dia (Sarawak) ada duit, jadi dia nak melaksanakan untuk anak-anak Sarawak. Jadi tak perlu ada kajian kecuali sekiranya ada hal berkaitan melibatkan perlembagaan," jelas beliau.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk terus bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara sama ada di peringkat tinggi mahupun rendah.

Terdahulu, Kerajaan Sarawak mengumumkan peruntukan kira-kira RM300 juta setahun untuk pelaksanaan pendidikan percuma bermula tahun 2026.

Inisiatif tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 pelajar setiap tahun khususnya bidang strategik dan berimpak tinggi.

GRACE AISYAH KEDAYAN