GEORGE TOWN, 15 September- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan notis peringatan kepada semua Ahli Parlimen susulan insiden e-mel ugutan yang disertakan tangkap layar video palsu yang dihasilkan menerusi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, e-mel tersebut dipercayai bersifat phishing bertujuan memasukkan perisian kod hasad atau malware ke dalam peranti penerima. Ia dikesan sebagai modus operandi baharu penjenayah siber yang mensasarkan maklumat peribadi di laman web rasmi.
"Ia merupakan notis peringatan kepada Ahli-Ahli Parlimen supaya berhati-hati bila menerima sebarang e-mel yang meminta klik atau imbas QR code kerana tidak mustahil ada elemen kod hasad atau malware," katanya.
Beliau menegaskan langkah keselamatan siber ini terpakai kepada semua bukan sekadar wakil rakyat.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di Ayer Itam di sini yang diperuntukkan RM2 juta setahun untuk menjaga kebajikan pengamal media negara.
Sumbangan diserahkan kepada wartawan Choo Kar Chun, 44, yang menghadapi masalah pendengaran sejak Oktober tahun lalu.
Choo merupakan penerima ke-22 di Pulau Pinang dan ke-500 di seluruh negara.
Fahmi menambah kementerian tidak menetapkan kuota penerima tahunan sebaliknya kerjasama dengan kelab media negeri membolehkan bantuan disalurkan segera kepada yang memerlukan.