GERIK, 15 September - Seorang lelaki berumur 53 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai hanyut ketika menjala ikan di Sungai Perak berhampiran Jeti Awam Kampung Pulau Belayar, di sini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada pukul 11.03 malam tadi.
"Mangsa dilaporkan keluar menjala ikan pada pukul 3.30 petang semalam menggunakan bot miliknya.
"Kira-kira pukul 8.30 malam, isteri mangsa, berumur 50 tahun, menerima panggilan daripada adiknya yang memaklumkan bahawa penduduk kampung telah menemui barang-barang mangsa terapung di permukaan air berhampiran jeti," menurut kenyataan itu.
Bot yang dinaiki mangsa turut ditemukan dalam keadaan separuh tenggelam.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan secara bersepadu dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, seramai 32 anggota dengan pelbagai jentera, termasuk bot aluminium dan fiber, sedang melakukan pencarian di kawasan mangsa dipercayai jatuh kira-kira 700 meter dari jeti.
Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat diteruskan dengan bantuan polis untuk menjejaki mangsa.