KUALA LUMPUR, 15 September - Komitmen ASEAN dalam mempertahankan hak dan maruah rakyat Palestin terus kekal utuh meskipun cabaran geopolitik global semakin rumit.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Amer Fawwaz Mohamad Yasid menjelaskan, negara-negara Asia Tenggara tetap konsisten menyambung kesinambungan perjuangan membela rakyat Palestin yang ditindas.
"Peranan ASEAN dalam mempertahankan hak rakyat — khususnya rakyat Gaza dan Palestin — tidak dapat dinafikan. Hingga ke hari ini, pendirian kita tidak pernah berubah.
"Walaupun ASEAN hanya ditubuhkan pada tahun 1967, sedangkan konflik Israel-Palestin telah bermula sejak 1948, kita tetap konsisten menyambung kesinambungan perjuangan membela nasib rakyat Palestin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Sebagai organisasi serantau, ASEAN sentiasa memainkan peranan aktif dalam menyuarakan kekejaman rejim Zionis yang dipamerkan kepada dunia menerusi serangan berterusan ke atas Gaza.
Dr. Amer Fawwaz Mohamad Yasid
"...kita tahu, ASEAN sebagai satu organisasi serantau berusaha sebaik mungkin dalam mempertahankan dan memperjuangkan hak rakyat Palestin yang sentiasa tertindas oleh rejim Israel.
"Kezaliman yang dilakukan oleh rejim ini sudah melampaui batas kemanusiaan, dan tidak salah jika saya samakan ia dengan kekejaman zaman rejim Nazi Jerman — Adolf Hitler — terhadap kaum Yahudi, iaitu Holocaust. Malah, ada yang menganggap apa yang berlaku di Palestin hari ini adalah bentuk Holocaust moden — apabila bayi-bayi yang tidak bersalah dibunuh tanpa belas kasihan," ujarnya tegas.
Dalam konteks kemanusiaan, ASEAN bukan sahaja lantang bersuara di peringkat diplomatik, malah giat menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dalam pelbagai bentuk, sama ada secara langsung atau melalui kerjasama antarabangsa.
"Sebagai organisasi di rantau Timur Jauh, ASEAN akan terus berjuang dengan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan — kewangan, perubatan, pakaian, makanan — serta sokongan moral. Semua ini adalah untuk memastikan konflik Israel-Palestin akhirnya menemui titik noktah dan dapat ditamatkan dengan sebaik mungkin," katanya lagi.