MUALLIM, 15 September- Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di daerah Muallim menyebabkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan keluarga terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muallim, Mohd Sabli Bakri berkata, PPS pertama dibuka di Dewan Kg Sekiah, Mukim Hulu Bernam Timur pada pukul 10.30 pagi bagi penduduk Kampung Batu 7 dan Kampung Sekiah.
PPS kedua pula di Dewan Kg Pasir, Ulu Slim yang dibuka pada pukul 11.30 pagi untuk menempatkan penduduk Kampung Pasir.
Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Daerah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Muallim, hujan lebat sejak awal pagi selama lebih dua jam menyebabkan Sungai Bernam melimpah dan menenggelamkan rumah penduduk serta tapak perkhemahan di Kg Simpang 4 Dalam.
Jalan kampung turut dilapor terputus, menyukarkan penduduk keluar dari kawasan dinaiki air dengan paras air mencecah 1.5 meter dan kira-kira 100 penduduk terperangkap di rumah masing-masing.
Operasi pemindahan penduduk sedang giat dijalankan ketika ini.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air di Stesen Sungai Slim, Slim River kini mencatat 26.93 meter, melepasi paras bahaya iaitu 25.40 meter.