KUALA LUMPUR, 15 September - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pengurusan trafik yang efisien sempena sambutan Hari Malaysia 2025 yang dijadualkan berlangsung esok di PICCA@Arena, Seberang Perai.
Ketua JSPT Pulau Pinang, Superintenden Zafri Zolkapli berkata, pelan trafik menyeluruh telah disediakan bagi memastikan kelancaran sepanjang acara, dengan lebih 80 orang anggota trafik digerakkan ke lokasi bagi tujuan kawalan dan iringan VIP, selain mengubah sistem laluan di sekitar PICCA sebagai laluan sementara.
"Untuk memastikan pengguna jalan raya boleh pergi ke tempat sambutan Hari Malaysia ke-2025, pihak kami telah mengambil tindakan dengan menempatkan 50 orang anggota untuk mengawal lalu lintas, dan juga 38 orang untuk eskot VIP — jadi kesemuanya seramai 88 orang.
"Untuk kawasan laluan di PICCA, yang biasanya dua hala, kita akan jadikan ia sehala kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Antara pengaturan utama melibatkan Persiaran Ampang Jajar yang akan dijadikan laluan sehala, bermula dari persimpangan lampu isyarat Ampang Jajar sehingga ke Jalan Kikik.
Semua kenderaan awam yang menuju ke PICCA akan dibenarkan masuk melalui lampu isyarat PICCA dan terus ke Gate B untuk parkir.
Selepas majlis selesai, semua kenderaan awam dari parkir PICCA akan diarahkan keluar melalui Jalan Kikik sama ada ke arah Butterworth atau ke Lebuhraya Utara-Selatan.
Laluan Persiaran Ampang Jajar akan kekal sebagai laluan sehala sepanjang hari acara bagi mengelakkan kesesakan dan melancarkan pengaliran trafik keluar.
Pengaturan itu akan berkuat kuasa seawal 9.30 pagi dan kekal sehingga selesai pada waktu malam.
Beliau turut beri jaminan mengenai aspek keselamatan dan kawalan lalu lintas kepada orang awam yang ingin menyaksikan sambutan tersebut secara langsung.
"Nasihat saya kepada sesiapa yang ingin pergi ke sambutan tersebut — jangan risau. Pergilah, sebab pihak polis sentiasa ada di sana mengawal lalu lintas.
"Cuma ikut peraturan lalu lintas dan ikut arahan daripada pegawai yang bertugas," katanya lagi.
PDRM menggalakkan semua pengunjung untuk merancang perjalanan lebih awal, menggunakan pengangkutan awam atau mengamalkan 'car pool' atau berkongsi kenderaan, bagi mengurangkan kesesakan serta memudahkan pengurusan trafik di sekitar kawasan PICCA.
Pada masa sama, mematuhi papan tanda dan arahan pegawai trafik supaya sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung dalam suasana aman dan lancar.