KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Insentif pelepasan cukai kepada pengguna pengangkutan awam perlu diperluaskan kepada semua golongan termasuk M40 dan T20 bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata langkah itu selari dengan usaha kerajaan mencapai sasaran 40 peratus pengguna pengangkutan awam menjelang 2030.
"Penggunaan pengangkutan awam di negara kita masih rendah, sekitar 20 peratus populasi sahaja, iaitu di bawah sasaran yang telah ditetapkan dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.
"Selain itu, perkhidmatan DRT ('Demand Responsif Transit') dan bas tambahan juga diperlukan untuk memperkukuh lagi jaringan bas di Lembah Klang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini.
Beliau juga meminta supaya sasaran jelas mengenai pembelian bas juga dapat ditetapkan setiap tahun agar ia dapat menambah baik kekerapan perkhidmatan berkenaan.