KUCHING, 11 Ogos - Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Ke-48 Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-China mengenai Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (JWG-DOC) dan Mesyuarat Ke-24 Pegawai Kanan ASEAN-China (SOM-DOC) di sini, bermula hari ini hingga 14 Ogos.
Menurut Kementerian Luar, mesyuarat tersebut merupakan rundingan penting bagi memperkukuh pelaksanaan Deklarasi Tatalaku (DOC) yang ditandatangani pada 4 November 2002 oleh negara anggota ASEAN dan China.
DOC adalah komitmen bersama untuk mencapai Kod Tatalaku (COC) yang dapat mengukuhkan keamanan serta kestabilan serantau, melalui kerjasama membina kesalingpercayaan dan menyelesaikan perbezaan secara aman.
“Ketika ini ASEAN dan China giat membincangkan pembentukan COC di bawah mekanisme JWG-DOC dan SOM-DOC,” menurut kenyataan itu.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh Ogos 2024 hingga Julai 2027, Malaysia bertindak sebagai Pengerusi Bersama dengan China bagi membincangkan pelaksanaan DOC dan rundingan COC.
Malaysia komited memastikan DOC dilaksanakan dengan efektif oleh semua pihak, seterusnya menghasilkan COC yang substantif dan berkesan bagi melindungi kedaulatan, hak dan kepentingan negara di Laut China Selatan.