fb fb fb fb fb

Model federalisme koperatif dan fiskal dapat perkukuh pembangunan negeri - Ahmad Samsuri

Foto FB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Kerajaan disaran mempertimbang cadangan untuk beralih kepada model federalisme koperatif dan fiskal bagi memperkukuh pembangunan negeri dalam memastikan penyelesaian masalah rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dalam kerangka perlembagaan sedia ada.

Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pendekatan itu penting dalam penyelarasan dasar, pelaksanaan projek dan pengagihan sumber, termasuk pemberian kuasa percukaian yang lebih meluas agar negeri memperoleh hasil yang lebih baik.

"Di bawah semangat koperatif dan fiskal federalism dengan izin, saya mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memperkenalkan geran kursus persekutuan dan negeri di bawah akta baharu yang boleh digubal menggunakan kuasa di bawah Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan.

"Ini membolehkan peruntukan diberikan secara terus kepada negeri bagi melaksanakan projek nasional atau keutamaan negeri tanpa ketirisan birokrasi dan kelewatan agensi pusat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini.

Pada masa sama, beliau juga turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kajian Transformasi Pembangunan Negara bagi menilai keberkesanan pelaksanaan rancangan Malaysia terdahulu serta mengaudit sistem peruntukan sedia ada.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM