SEPANG, 11 Ogos - Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Dr Muhammad Yunus, tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pesawat komersial yang membawa beliau bersama delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada pukul 7.47 malam.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dr Muhammad Yunus kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat melibatkan 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diketuai Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu sebagai membalas lawatan rasmi Perdana Menteri ke Bangladesh pada Oktober 2024 dan Dr Muhammad Yunus diiringi beberapa penasihat serta pegawai kanan kerajaan.
Dr Muhammad Yunus akan diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya esok disusuli mesyuarat dua hala dengan Datuk Seri Anwar.
Kedua-dua pemimpin dijangka meneliti kemajuan hubungan Malaysia-Bangladesh, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.
Perbincangan juga akan merangkumi perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Sepanjang lawatan itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, tenaga, kajian strategik dan antarabangsa, pembangunan kapasiti dalam bidang teknologi semikonduktor serta promosi perdagangan.
Pertukaran Nota Diplomatik juga akan dimeterai dalam bidang latihan diplomatik dan pendidikan tinggi.
Dr Muhammad Yunus juga dijadual menyampaikan syarahan umum pada Rabu dan akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.