KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan memasang sebarang peranti bagi membuat penstriman langsung ketika menyampaikan ucapan pada sesi persidangan, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
"Saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat live streaming dalam Dewan Rakyat," katanya dalam sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, di sini.
Johari berkata, semua Ahli Yang Berhormat boleh menonton menerusi siaran langsung sidang Dewan Rakyat di YouTube rasmi Parlimen Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media massa yang lain.
(Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul)
"Sejak kebelakangan ini, telah meningkatnya trend Ahli-Ahli Yang Berhormat memasang peranti seperti telefon bimbit di meja untuk membuat live streaming di media sosial semasa ucapan Yang Berhormat ketika sesi persidangan Dewan Rakyat berlangsung.
"Untuk makluman, Peraturan Mesyuarat 35(1) mengkehendaki Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk mengarahkan sebarang ucapan kepada Pengerusi," kata Johari,
Katanya, tindakan beberapa Ahli Yang Berhormat berucap dengan tidak mengarahkan ucapan tersebut kepada Pengerusi dan memandang peranti yang dipasang jelas tidak mematuhi peraturan.
"Diharap agar Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat memberi kerjasama dalam perkara ini," katanya.