fb fb fb fb fb

Agong zahir kagum lukisan golongan autistik hiasi hotel

Seri Paduka Baginda berdua ketika dipersembahkan lukisan golongan autisme di Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA, 10 Januari- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kagum dengan karya seni golongan autistik yang dipamerkan di Hotel Mercure Living Putrajaya di sini.

Seri Paduka bertitah kelebihan yang dimiliki golongan istimewa tersebut wajar mendapat sokongan.

"Semua lukisan yang dipamerkan dalam hotel atau bilik (hotel) ini telah dilukis oleh anak-anak (yang menghidap penyakit) autisme.

"Di mana saya dapat lihat tadi, (ia) begitu cantik sekali, begitu menarik sekali lukisan-lukisan yang dipersembahkan kepada saya dan Raja Permaisuri (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) tadi," titah baginda ketika berucap pada Majlis Perasmian Mercure Living Putrajaya di sini.

Kumpulan iKHASAS Sdn Bhd memaklumkan pihaknya sentiasa komited dalam meneruskan inisiatif tersebut seperti yang sering disarankan oleh Seri Paduka Baginda berdua untuk membantu kanak-kanak kurang upaya.

Pengarah Urusannya berkata, hotel bertaraf lima bintang itu telah menjadi daya tarikan utama di Wilayah Persekutuan Putrajaya kerana keunikannya sendiri.

Selain itu, kedudukannya terletak di kawasan strategik dan dikelilingi pejabat-pejabat kerajaan telah menjadikan ia hotel terbaik untuk segala acara dan majlis-majlis rasmi kerajaan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA