fb fb fb fb fb

Agong sukacita prestasi projek Fasa 1 Lebuhraya Pan-Borneo

KUALA LUMPUR, 13 Februari- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melahirkan rasa sukacita dengan prestasi pelaksanaan projek Fasa 1 Lebuhraya Pan-Borneo di Sabah dan Sarawak.

Baginda bertitah, projek yang bermula pada tahun 2015 itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.


(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)

"Adalah menjadi impian Beta, untuk memandu menelusuri Lebuh raya Pan-Borneo ini, khusus untuk beta mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat Beta di pedalaman Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu.

"Program kembara ini sedang di rangka oleh Istana Negara dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak", titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15.

Baginda juga bertitah agar kerajaan meneruskan projek-projek infrastruktur pengangkutan awam berimpak tinggi bagi meningkatkan ketersambungan di samping menjana kesan pengganda yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi.

Titah baginda lagi, usaha tersebut dapat direalisasi menerusi pengangkutan yang optimum serta meningkatkan kesedaran rakyat untuk beralih kepada penggunaan pengangkutan yang bercirikan cekap tenaga dan rendah karbon.

Media Baharu