fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada dua atlet angkat berat negara

(FOTO FB Istana Negara)

KUALA LUMPUR, 31 Julai - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua atlet angkat berat lelaki negara yang masing-masing berjaya menyumbang pingat emas dan rekod baharu di Sukan Komanwel Birmingham 2022, semalam.

Turut menzahirkan ucapan tahniah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ucapan tahniah Seri Paduka berdua dikongsi menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini.

Atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan, 20,  meraih pingat emas pertama negara semalam selepas mengungguli kategori 55 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 249kg.

Atlet berasal dari Segamat, Johor itu turut berjaya mencatatkan rekod baharu Sukan Komanwel selepas melakukan angkatan snatch 107kg dan clean & jerk 142kg.


(Mohd Aniq Kasdan berjaya dengan angkatan keseluruhan 249kg untuk meraih pingat emas
dalam kategori 55kg lelaki/ FB Olympic Council of Malaysia)

Pingat emas kedua negara pula disumbangkan oleh Muhamad Aznil Bidin menerusi acara angkat berat kategori 61kg lelaki, dengan angkatan bebanan keseluruhan 285kg selepas berjaya melakukan angkatan snatch 127kg dan 158kg bagi clean & jerk, sekali gus mencatat rekod baharu temasya itu.

Kejayaan tersebut juga membuktikan kehebatan atlet kelahiran Kedah berusia 28 tahun itu mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.- BERNAMA


(Aznil Bidin melakukan angkatan cemerlang dalam angkat berat kategori 61kg di Sukan Komanwel Birmingham/ AFP)

Media Baharu