fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri tiba di Brunei, hadiri persandingan Putera Mateen

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam pada Jumaat/FOTO Istana Negara

KUALA LUMPUR, 13 Januari - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam hari ini.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berdua dan delegasi tiba di Bandar Seri Begawan pada 3.40 petang.

Seri Paduka Baginda berdua disambut Menteri Kesihatan Brunei Datuk Seri Setia Dr. Awang Mohammad Isham Jaafar serta beberapa orang pegawai tinggi negara Brunei.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ke Brunei adalah atas persilaan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bagi menghadiri Istiadat Persandingan DiRaja Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah Adam di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan esok.

Seri Paduka Baginda berdua juga dijadual berangkat menghadiri Istiadat Persantapan Diraja sempena meraikan kedua-dua pengantin DiRaja tersebut di Istana Nurul Iman pada Isnin malam.

Seri Paduka Baginda berdua akan berangkat pulang ke tanah air pada selasa.

GRACE AISYAH KEDAYAN