KUALA LUMPUR, 13 Januari - Seramai 70 keluarga kakitangan unit Multimedia Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengadakan konvoi santai dari Kota Media Angkasapuri ke Sungai Besar, Selangor hari ini.
Konvoi santai itu melibatkan 60 buah motosikal dan enam buah kereta bermula 8.15 pagi tadi
Menurut Penolong Pengarah Unit Visual, Nor Azizah Mohamad, program ini diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga di jabatan itu selain menerokai beberapa tempat menarik di negeri itu.
"Program ini merupakan salah satu program yang membuka peluang untuk kita melihat sektor pelancongan dan sebenarnya ini adalah daya tarikan yang boleh kita ketengahkan kerana banyak tempat menarik belum kita terokai terutamanya di Selangor ini," katanya kepada RTM.
Turut hadir memeriahkan konvoi santai bekas menteri besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo.
"Sejak akhir-akhir ini Sungai Besar menjadi tempat kunjungan pelancong.
"Antara yang popular di Selangor boleh menikmati padi, sungai laut dan sebagainya dan di sini juga terdapat makanan laut dan eksotik yang dimiliki oleh etnik masing-masing.
"Dari segi harga tidak begitu mahal sekali sebab itu saya merasakan bahawa program ini sangat membantu ekonomi penduduk Sungai Besar," katanya selepas menjamu selera makan tengah hari bersama-sama kakitangan unit Multimedia RTM hari ini.