fb fb fb fb fb

Tiga PPS di Johor ditutup, banjir makin pulih

Banjir di Kota Tinggi juga semakin surut

JOHOR BAHRU, 13 Januari - Perkembangan banjir di Johor menunjukkan perubahan berkurang secara drastik kepada 1, 515 orang setakat petang tadi.

Angka itu menurun berbanding 1,938 orang penduduk terjejas pada pukul 3 petang Sabtu.

Hanya tinggal 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih lagi aktif di lima daerah, selepas 20 daripadanya ditutup pada hari ini, termasuk 3 PPS pada 4 petang tadi.

PPS yang ditutup hari ini adalah PPS Sekolah Kebangsaan Nam Heng di Johor Bahru, Dewan Raya Kampung Makam dan Sekolah Kebangsaan Dato Usman Awang Kota Tinggi. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, KOTA TINGGI turun mendadak dengan 529 penduduk terjejas ditempatkan di lima PPS.

Ia diikuti dengan MERSING turun sebanyak 611 orang penduduk daripada 185 buah keluarga ditempatkan di empat PPS.

Di KLUANG seramai 227 orang ditempatkan di dua PPS manakala Segamat kekal 89 orang sejak malam tadi di dua PPS.

Sementara itu, BATU PAHAT masih kekal dengan 59 orang daripada 16 keluarga berlindung di sebuah PPS.

PPS di Johor Bahru tutup secara rasmi sepenuhnya. 

Laluan di Jalan Tanah Abang di Mersing, Lingkaran Kahang Barat (Felda Kahang Barat) dan selepas Felda Kahang Barat, Kluang masih ditutup kepada semua kenderaan.

Dalam pada itu MetMalaysia melaporkan hujan lebat berterusan tahap buruk, dijangka berlaku sehingga esok di Johor.

GRACE AISYAH KEDAYAN