MARAN, 8 April- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis khatam al-Quran sempena sambutan Nuzul Quran dan bacaan tahlil Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Shah serta berbuka puasa di Masjid Jamek, Chenor, di sini, tadi.
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda baginda.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.
Turut menyerikan majlis itu ialah 100 pelajar Maahad Tahfiz Al-Furqan Maran serta pegawai-pegawai kanan daripada pelbagai agensi kerajaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan khatam al-Quran, yasin dan tahlil dipimpin oleh Johan Qari Kebangsaan 2003, Datuk Ahmad Faizul Ghazali sementara bacaan doa tahlil pula dipimpin oleh Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.
(Foto fail)
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Baginda berdua kemudiannya turut berkenan berbuka puasa dan seterusnya menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.