fb fb fb fb fb

Raja Perlis dibenarkan keluar dari Hospital Putrajaya

PUTRAJAYA, 8 April- Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah dibenarkan keluar dari Hospital Putrajaya pada pukul 3.30 petang semalam setelah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada Sabtu, 1 April yang lalu.

Baginda yang diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid akan bersemayam dan mendapatkan rawatan pemulihan selanjutnya di Istana Perlis, Kuala Lumpur sehingga baginda pulih sepenuhnya.

Demikian pemakluman oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Istana Arau.

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid menitahkan ucapan terima kasih serta penghargaan yang tidak terhingga kepada pasukan kesihatan terutama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta seluruh warga Hospital Putrajaya yang mempersembahkan perkhidmatan dan komitmen baik sepanjang tempoh baginda menjalani pembedahan dan menerima rawatan di hospital berkenaan.

Ucapan terima kasih daripada baginda berdua juga ditujukan kepada seluruh rakyat negeri Perlis dan semua kaum kerabat serta kenalan yang sentiasa mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan keafiatan baginda.

(Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail)

Pada 4 April lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan berangkat ke Hospital Putrajaya untuk menziarahi Tuanku Syed Sirajuddin.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli juga turut mengadap baginda di Hospital Putrajaya.

Media Baharu