SEPANG, 15 Ogos- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan negara ke Republik Turkiye selama tujuh hari bermula hari ini.
Lawatan tersebut adalah atas jemputan Presiden Republik Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 10 pagi tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Sebelum berangkat, Seri Paduka berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.
Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Lawatan Negara ini telah dijadualkan pada tahun lalu tetapi ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19.
"Lawatan negara ini juga yang pertama buat Seri Paduka Baginda berdua bagi tahun ini dan juga sejak bulan Ogos 2019," katanya.
Kali terakhir Seri Paduka berdua mengadakan lawatan negara ialah ke Indonesia selama empat hari, bermula pada 26 Ogos 2019.
"Ekoran daripada gelombang penularan wabak COVID-19 bermula pada awal tahun 2020, lawatan-lawatan negara yang telah dijadualkan pada tahun 2020 dan 2021 telah ditangguh," katanya.
Seri Paduka berdua, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboğa, Ankara pada pukul 5 petang waktu tempatan.
Turut mengiringi, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Istana Presiden, Ankara, dan Seri Paduka berdua turut dijadualkan berangkat menghadiri Majlis Jamuan Negara yang dianjurkan Erdogan di Istana Presiden, esok.