fb fb fb fb fb

Agong mahu usaha memperkasakan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara diteruskan

KUALA LUMPUR- 13 Februari- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu usaha memperkasakan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara diteruskan bagi mendepani peningkatan inflasi dan kos sara hidup.

Baginda yakin semangat prinsip negara madani seperti ihsan dan inisiatif RAHMAH serta DAYA mampu membawa perubahan dalam memberikan jaringan perlindungan sosial dan seterusnya membendung isu kos sara hidup.

"Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan diperkasakan dengan menerap dan meningkatkan pendekatan secara menyeluruh kekuatan negara melibatkan pengeluar, peniaga, pengguna dan semuaagensi kerajaan.

"Ekosistem perdagangan dalam negeri akan terus diperkasakan dengan maksud melindungi kepentingan pengguna melalui konsep mengharmonikan ekonomi," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.

Seri Paduka Baginda juga bertitah kerajaan akan memberi tumpuan kepada agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia menjadi destinasi pelaburan pilihan.

"Pelaksanaan dasar dan inisiatif nasional seperti Dasar Pelaburan Baharu Berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional akan merancakkan lagi ekonomi negara dan mencapai sasaran yang diunjurkan.

"Di samping itu program pembangunan sosioekonomi seperti Agenda Pemerkasaan Ekonomi Pendigitalan dan Penerimagunaan Teknologi, keusahawanan, serta pembangunan modal insan amat perlu bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi," titah baginda.

Media Baharu