fb fb fb fb fb

Agong lancar Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu

(Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah berkenan
bergambar sebelum majlis pelancaran kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
Edisi Rumi Baharu di Darul Quran JAKIM, hari ini/FOTO BERNAMA)

KUALA KUBU BAHARU, 9 September - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melancarkan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini.

JAKIM dan Rimbunan Islamik Media Sdn Bhd dalam kenyataan bersama berkata, antara kelebihan cetakan terbaharu itu ialah ia merupakan satu-satunya kitab tafsir lengkap diterbitkan JAKIM.

Tambah kenyataan itu lagi, kitab tafsiran itu merupakan karya terjemahan oleh penulis tempatan yang berkelayakan dan diiktiraf, serta saiz lebih besar dan mesra pembaca berbanding versi asal.

Baginda turut berkenan melawat beberapa kelas hafazan dan memberi sumbangan kepada 20 pelajar Darul Quran yang merupakan golongan asnaf.

(Al-Sultan Abdullah berkenan melancarkan  kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman 
Edisi Rumi Baharu di Darul Quran JAKIM/FOTO Facebook Istana Negara)

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad; Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu ini bersesuaian dengan perkembangan zaman dan berpandukan teras dalam ilmu tafsir serta Tadabbur Al-Quran.

"Semoga umat Islam di negara ini akan terus memahami serta menghayati ayat-ayat al-Quran melalui penerbitan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu," katanya.

Kampus Darul Quran di bawah seliaan JAKIM telah melahirkan lebih 10, 000 graduan huffaz yang berperanan sebagai ulama profesional dalam membangunkan ilmu dan sahsiah masyarakat ummah.

Kampus Darul Quran ini juga telah menjadi model pengajian tahfiz yang tersusun dan berkualiti.

Media Baharu