(Foto fail)
KUALA LUMPUR, 8 April- Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu tentera rejim Israel terhadap jemaah dan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa, baru-baru ini.
Seri Paduka Baginda menyifatkan serangan terhadap jemaah dan pencerobohan tempat suci umat Islam yang ketiga itu sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak perikemanusiaan.
Melalui kenyataan, Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Zahari Ariffin memaklumkan Seri Paduka Baginda menyifatkan tindakan tentera rejim Israel itu bukan sahaja menyalahi undang-undang malah mencabuli hak asasi serta kesucian masjid itu.
Seri Paduka Baginda bertitah rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan memperjuangkan prinsip keadilan di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.
Seri Paduka Baginda juga menzahirkan sokongan terhadap ketetapan kerajaan Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) supaya rejim Israel bertanggungjawab dan segera membebaskan semua tahanan Palestin.
Seri Paduka Baginda turut menyeru masjid dan surau di negara ini mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat Rejim Israel.
(Agong dukacita tindakan Israel cemar kesucian Al-Aqsa/Foto fail)