ALOR SETAR, 8 April- Kajian komprehensif akan dilaksanakan bagi memperhalus pelaksanaan inisiatif Rahmah yang diperkenalkan penghujung Januari lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata empat hingga enam bulan selepas inisiatif itu dilaksanakan adalah tempoh yang tepat untuk kajian tersebut.
Ia dijangka bermula selepas Aidilfitri ini bagi meneliti penambahbaikan yang boleh dibuat pada masa hadapan.
Katanya penambahbaikan itu termasuklah meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian melalui inisiatif Menu Rahmah kepada peniaga gerai dan restoran yang tidak mencapai keuntungan atau jualan yang diharapkan.
Dalam kajian tersebut seramai 1,500 peserta Menu Rahmah akan ditemu bual di seluruh lokasi yang terdapat Menu Rahmah.
"Kita akan dapatkan perincian yang lebih bertanggungjawab jadi barulah kita dapat kenal pasti nanti segmen yang mana atau lokasi yang mana di mana tempat itu.
"Apakah menu yang mereka tawarkan itu mendapat sambutan atau tidak itu pun penting untuk kementerian mendapat fakta yang lebih bertanggungjawab tentang isu-isu yang dilaporkan oleh media," kata Salahuddin dalam sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan Wakalah Syarikat Koporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia SSM berjumlah RM100,000 kepada 500 asnaf di sini.
(Datuk Seri Salahuddin berkata Keberkesanan inisiatif Rahmah dikaji semula)
Beliau berkata seramai 1,148 peniaga bazar Ramadan yang ditemu bual setakat ini memaklumkan bahawa berlaku peningkatan hasil jualan terhadap perniagaan mereka menerusi Menu Rahmah.
Hasil kajian menunjukkan berlaku 63% peningkatan hasil jualan, 69% peningkatan pelanggan dan 70% peningkatan keuntungan.
Manakala peniaga lain mendapat keuntungan tetapi tidak pada kadar yang mereka harapkan.
Setakat ini lebih 15,000 premis menyahut kempen menyertai Menu Rahmah.