KUCHING, 8 April- Mayat mangsa hilang di Tanjung Jerijih, Tanjung Manis pada Isnin lepas ditemukan terapung di permukaan air, malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Komander Maritim, Gilbert Tinggak Numpang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada bapa mangsa mengenai penemuan mayat mangsa di ruang kemudi “wheelhouse” bot yang karam pada pukul 8.55 malam.
Gilbert Tinggak memberitahu, sejurus mendapat maklumat tersebut, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching, mengatur gerak aset dan menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan.
Bagaimanapun jelasnya, disebabkan oleh cuaca di lokasi tidak mengizinkan serta jarak penglihatan terhad pada waktu malam, pasukan penyelamat terpaksa diatur gerak pada pagi tadi.
Tambah beliau, sekitar pukul 9.25 pagi, pasukan penyelamat bersama pasukan penyelam telah tiba di lokasi dan mendapati mayat berkenaan terapung di permukaan air.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Terminal Tanjung Manis dan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan seterusnya.
(Foto fail)
Operasi Carilamat ditamatkan pada pukul 12.15 tengah hari tadi.
Dalam kejadian Isnin lepas, mangsa Wong Pak Wei bersama lima anak kapal lain telah dibadai ribut yang mengakibatkan bot yang dinaiki mereka terbalik dan karam.
Kelima-lima mangsa yang lain sempat memakai jaket keselamatan dan terapung sehingga dijumpai bot nelayan berhampiran.