fb fb fb fb fb

Agong dan Permaisuri zahirkan ucapan tahniah kepada Michelle Yeoh

(FOTO AFP)

KUALA LUMPUR, 11 Januari-Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh atas kejayaan melakar sejarah, sebagai pelakon Malaysia pertama meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe di Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada aktres kelahiran Ipoh, Perak itu.

Menurut catatan di Facebook Istana Negara, baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Tan Sri Michelle, yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Tan Sri Michelle dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Tan Sri Michelle memenangi trofi itu bagi lakonannya dalam filem “Everything Everywhere All At Once”.

Beliau menewaskan pesaing iaitu Lesley Manville yang membintangi “Mrs. Harris Goes to Paris”, Anya Taylor-Joy (“The Menu”),Emma Thompson (“Good Luck To You, Leo Grande”) dan Margot Robbie (“Babylon”).


(FOTO FB IstanaNegaraOfficial)

Media Baharu