fb fb fb fb fb

Agong berangkat ke Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvo UPNM

Foto facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 3 Disember- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Istiadat Konvokesyen ke-14 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, watikah pemasyhuran Canselor disampaikan kepada Sultan Ibrahim oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.

"Seksyen 10(2) Perlembagaan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia memperuntukkan bahawa Canselor ialah Yang di-Pertuan Agong", menurut hantaran itu.

"Berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 10(1) Perlembagaan berkenaan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hendaklah mempengerusikan konvokesyen UPNM.

Pada Istiadat Konvokesyen UPNM ke-14, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang pengajian Strategi dan Pertahanan kepada mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-19, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (Bersara).

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan penganugerahan Ijazah Tinggi dan anugerah kepada 14 penerima.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Pro-Canselor UPNM dan Tunku Puteri Dr Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Selain itu, turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Datuk Mohamad Ab Rahman, Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Razarudin Husain, Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

ROSLINA BINTI DIN