KUALA LUMPUR, 3 Disember- Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru tidak bertolak ansur dan mengambil tindakan tegas bagi memastikan keadilan serta kesejahteraan negara terus terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu tatakelola, integriti, penyalahgunaan kuasa, dan penindasan mesti diberi keutamaan demi memastikan kemajuan dan pertumbuhan negara yang mampan serta pesat.
"Negara menuntut perubahan dan peningkatan. Saya yakin kita mempunyai keupayaan untuk maju tanpa terjebak dalam politik picisan serta pergolakan kaum dan agama yang tidak membawa manfaat.
"Sebaliknya, fokus kita harus kepada usaha menyelamatkan negara agar kekal aman dan terus berkembang pesat.
"Pertumbuhan ekonomi yang kukuh akan meningkatkan mutu pendidikan, kesihatan rakyat, serta menjadikan negara sebagai hab semikonduktor dan AI (kecerdasan buatan) yang maju.
"Ini semua mesti menjadi keutamaan kita," katanya dalam ucapan bersempena Majlis Peluncuran IPCC, Police, Friends and Collaborators (IPFC) Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.
Dalam pada itu, Anwar berkesempatan meluangkan masa menghadiri Pameran Wacana Kejayaan bersempena Program Pemberian Baucar Buku MADANI di Laman Sidang Dewan Parlimen.
Anwar meninjau ruang pameran dan mendengar taklimat mengenai perkembangan serta impak positif yang dicapai oleh program tersebut selepas menghadiri sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dan sesi soal jawab hari ini.
Dalam sesi lawatan selama kira-kira 15 minit, Anwar dimaklumkan oleh wakil Perbadanan Kota Buku bahawa hampir semua negeri telah mencatat lebih 90 peratus penebusan baucar.
Setakat Ahad lalu, Program Baucar Buku MADANI mencatat pencapaian luar biasa dengan sebanyak 3,279,601 baucar ditebus, melibatkan nilai keseluruhan RM262,602,150, yang mencerminkan kesan positif terhadap pembelian buku dalam kalangan pelajar.
Selain itu, sebanyak 6,687,646 naskhah buku berjaya dijual melalui 3,113,524 transaksi manakala portal e-dagang utama bagi inisiatif itu, platform BookCapital kini menyokong 737,400 judul buku yang tersedia dalam sistem dan melibatkan 1,050 penjual aktif.