fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan 2025

Foto FB Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 Julai- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofea berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Masjid Negara, hari ini.

Ketibaan baginda dan permaisuri kira-kira pukul 5.30 petang diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Majlis yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Tuan Hj Ehsan Mohd Hosni dihadiri jemaah dalam kalangan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelajar tahfiz dan orang awam.

Baginda dan Perdana Menteri turut berkesempatan beramah mesra dengan para jemaah yang hadir sebelum berangkat pulang pada pukul 5.50 petang.

Sambutan Hari Pahlawan diraikan bermula 31 Julai 1960 bagi menghargai khidmat bakti pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM