KUALA LUMPUR, 30 Julai- Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN Circular Economy Forum (ACEF) 2025 yang dijadual berlangsung Oktober depan, sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama serantau ke arah peralihan kepada ekonomi kitaran.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan forum anjuran bersama Enhanced Regional EU-ASEAN Dialogue Instrument (E-READI) itu bakal menjadi platform strategik dalam merangka dasar nasional serta menyelaras inisiatif serantau, selari dengan agenda pembangunan mampan ASEAN.
"Penglibatan aktif Malaysia dalam inisiatif serantau itu mencerminkan komitmen negara dalam menangani isu perubahan iklim, pengurusan sisa, pendidikan alam sekitar serta konservasi biodiversiti," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Malaysia turut menghargai sokongan padu daripada rakan-rakan dialog ASEAN, khususnya dalam usaha membangunkan kapasiti dan keupayaan teknikal melalui perkongsian strategik berterusan.
Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN ke-36 (ASOEN-36) yang berlangsung hari ini bersama rakan dialog serantau.
Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan Strategic Program for ASEAN Environment and Climate (SPACE), khusus dalam menangani tiga cabaran utama alam sekitar iaitu perubahan iklim, pencemaran, dan pemuliharaan biodiversiti.
"Pelbagai program dan inisiatif dikenal pasti bagi menyokong pelaksanaan SPACE termasuk ASEAN Climate Change Strategic Action Plan (ACCSAP) dan Regional Knowledge Center for Marine Plastic Debris (RKC-MPD).
Tumpuan perbincangan turut merangkumi isu pengurusan sisa marin melalui pelaksanaan Regional Action Plan on Marine Litter (RAP-MALI) yang menekankan komitmen bersama dalam menangani pencemaran sisa laut secara bersepadu," tambah kenyataan itu.