fb fb fb fb fb

JAKIM salur RM70,000 kepada enam institusi Islam di Selatan Thailand

Antara penerima sumbangan pada Program Mic session JAKIM dan Al-Hidayah Waqaf Foundation/Foto JAKIM

HAT YAI, 30 Julai – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyumbang sebanyak RM70,000 kepada enam institusi Islam di selatan Thailand.

Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Dr Muhammad Yamin Ismail berkata, sumbangan itu disalurkan menerusi Tabung Musa’adah-Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sumbangan termasuk 290 naskhah al-Quran melalui inisiatif ‘Wakaf Sejuta al-Quran’ sebagai usaha menyantuni kebajikan dan pembangunan pendidikan umat Islam di rantau itu.

“Kita mengharapkan inisiatif ini membudayakan amalan membaca dan menghayati al-Quran dalam segenap aspek kehidupan masyarakat, terutamanya dalam kalangan pelajar tahfiz dan komuniti Islam setempat.

“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha kita menyokong penyebaran ilmu al-Quran secara meluas di kawasan ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Mic session JAKIM dan Al-Hidayah Waqaf Foundation di sini hari ini.

Enam institusi yang menerima sumbangan tersebut ialah Masjid Bannue Hatyai, Sekolah Islam Kallayanachonrangsan, Maahad Tahfiz Al Abdia, Al Hidayah Waqaf Foundation, Islamic Advising Centre Satun, dan Maahad Tafizul Quran Masjid, Jamul Kubra yang masing-masing menerima RM5,000.

Selain itu, bantuan makan tengah hari bernilai RM10,000 turut diagihkan kepada golongan asnaf di Masjid Bannue.

Manakala bantuan makan malam disampaikan kepada pelajar dan asnaf di Maahad Tahfizul Quran Masjid Jamul Kubra, Hatyai.

Dr Muhammad Yamin berkata, inisiatif itu bukan sahaja menyantuni keperluan rohani, malah menyokong kesinambungan pendidikan dan kebajikan umat Islam di selatan Thailand.

GRACE AISYAH KEDAYAN