fb fb fb fb fb

Agihan adil untuk pembangunan, projek mega dilaksana merentasi negeri - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat menegaskan kerajaan MADANI tidak meminggirkan mana-mana negeri dalam aspek pembangunan. Foto- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan MADANI tidak meminggirkan mana-mana negeri dalam aspek pembangunan, sebaliknya peruntukan terus ditambah berdasarkan keperluan setiap negeri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Jalaludin Alias (BN-Jelebu) pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

“Umpamanya, Sabah. Kalau kita lihat, tahun 2022 berbanding tahun 2025, perbelanjaan pembangunan meningkat daripada RM5.2 bilion kepada RM6.7 bilion. Sarawak pula dari RM4.7 bilion kepada RM5.9 bilion, Terengganu daripada RM1.4 bilion naik ke RM1.8 bilion, Kelantan daripada RM2.4 bilion kepada RM3.2 bilion, Kedah daripada RM1.6 bilion kepada RM2.2 bilion, manakala Perlis daripada RM400 juta kepada RM600 juta,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata kerajaan turut melaksanakan projek mega merentasi negeri termasuk Lebuhraya Pan Borneo, Sabah-Sarawak Link Road, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Central Spine Road serta rancangan tebatan banjir bernilai puluhan bilion ringgit.

“Jawapan ini perlu dinyatakan dengan betul kerana ia menolak tanggapan bahawa wujud peminggiran seperti yang sering ditohmah. Bila kita beri angka-angka ini, ia tidak dihadam dan naratif lama diteruskan.

“Saya telah sebut berulang kali di Dewan ini mengenai projek tebatan banjir yang melibatkan keseluruhan negara dengan kos RM25.08 bilion, termasuk tumpuan besar di Kelantan, Pahang dan Terengganu yang menelan kos RM8.8 bilion. Ini bukan soal jumlah bilion, tetapi soal keperluan rakyat,” katanya.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN