fb fb fb fb fb

Agensi Nuklear Malaysia naik taraf fasiliti bagi tingkat keselamatan makanan

KUALA LUMPUR, 19 September- Agensi Nuklear Malaysia sedang menaik taraf fasiliti dan makmal aplikasi teknologi nuklear dalam pertanian bagi meningkatkan keselamatan dan jaminan makanan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, usaha tersebut memerlukan peruntukan sebanyak RM5.3 juta sehingga 2025.

"Projek ini bermula tahun 2023 bagi meningkatkan keselamatan dan jaminan makanan melalui peningkatan produktiviti agromakanan melalui teknik biak baka mutasi.

"Di samping itu, teknik isotop stabil digunakan bagi menentukan ketulenan makanan serta mengesahkan asal usul produk tersebut," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat di sini.

Setakat ini, 474 produk, teknologi dan perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan telah dikenal pasti untuk dikomersil dan dipasarkan, sekali gus menjana hasil jualan sebanyak RM540 juta.

Dalam perkembangan lain, pelaksanaan Malaysia Science Endowment (MSE) dijangka mampu menjana sebanyak RM100 juta setahun.

Usaha itu menerusi kolaborasi bersama pihak industri dan rakan strategik antarabangsa, sekali gus meningkatkan aktiviti R&D negara secara berterusan.

"Strategi kementerian adalah mewujudkan MSE iaitu dana alternatif daripada pelbagai sumber seperti industri, dana antarabangsa dan penderma bagi membiayai R&D negara.

"Bagi menjayakan hasrat ini, MSE memerlukan sejumlah RM2 bilion sebagai rizab permulaan iaitu RM1 bilion daripada kerajaan dan RM1 bilion daripada swasta," katanya.

MSE selaras dengan Dasar Sains Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 bagi mengukuhkan tadbir urus sains, teknologi dan inovasi (STI).

(Chang Lih Kang)

Media Baharu