fb fb fb fb fb

Tarikh PRK DUN Jepak diumum pada 25 Sept ini

PUTRAJAYA, 19 September - Tarikh-tarikh berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 25 September ini.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata Mesyuarat Khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh, pada Isnin depan.

"Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

SPR perlu mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.67 Jepak, Sarawak dalam tempoh 60 hari ekoran berita penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip dilaporkan meninggal dunia petang Jumaat lalu.

Ikmalrudin berkata keputusan itu selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak selepas menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.

Sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021, Allahyarham mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dengan 4,243 undi majoriti.


(Allahyarham Datuk Talib Zulpilip, DUN Jepak)

Media Baharu