fb fb fb fb fb

Adam Adli bidas kenyataan Syed Saddiq gelar kerajaan sebagai 'NATO'

(Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim/ BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 19 September- Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim membidas kenyataan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggelar Kerajaan Perpaduan sebagai ‘kerajaan NATO’ (No Action Talk Only).

Dalam kenyataan menerusi Facebook, Adam Adli berkata kesemua tiga perkara dibangkitkan Ahli Parlimen Muar itu membabitkan soal peruntukan kepada pembangkang, pengisytiharan harta anggota Kabinet dan pengguguran kes rasuah, sudah banyak kali dijelaskan sama ada di dalam atau luar Parlimen.

Berhubung pengisytiharan harta, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Januari lalu mengarahkan agar mekanisme lebih telus dan menyeluruh disiapkan, bukan sekadar isytihar tanpa format khusus.

“Tidak sekadar kenyataan media, ia disepakati menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri pada Julai lepas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.


(Foto Fail: Syed Saddiq/ BERNAMA)

Sementara dalam isu pengguguran kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula telah diperjelas secara terperinci oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen, semalam.

Malah, isu melepas tanpa membebaskan, (DNAA) turut mendapat perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan bakal dijawab Perdana Menteri hari ini.

Mengenai peruntukan kepada pembangkang, pelawaan untuk mengadakan rundingan dari pihak kerajaan masih belum berbalas, sebaliknya terus dijadikan modal untuk perbalahan di Dewan Rakyat.

“Soal NATO ini eloklah Saddiq jangan hanya cerminkan kepada perkara mengikut selera beliau. Cerminkan juga kepada dasar kebajikan rakyat dikemukakan menerusi Belanjawan 2023 yang lepas dan inisiatif sedang berjalan dalam menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah dan keperluan asas rakyat termasuk sekolah dan fasiliti kesihatan, bekalan air bersih, pemulihan ekonomi pasca pandemik dan transisi tenaga yang bakal bermula kelak,” katanya.

Media Baharu