(Suhaizan mengangkat sumpah selepas memenangi PRK Parlimen Pulai, Johor, pada
9 September lalu dengan majoriti 18,641 undi/ BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 19 September- Ahli Parlimen Pulai yang baharu, Suhaizan Kayat mengangkat sumpah jawatan di Dewan Rakyat hari ini.
Majlis angkat sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Tan Sri Johari dalam ucapan mengalu-alukan pelantikan Suhaizan, turut menasihati semua ahli Parlimen, agar menjadikan Dewan Rakyat sebagai platform perdebatan yang bebas.
"Dewan Rakyat ini mempunyai kedudukan tertinggi dalam menentukan undang-undang negara, semak dan imbang kepada cabang eksekutif demi manfaat pembangunan negara. Justeru peranan parlimen sebagai medan perbahasan dan perdebatan bebas mesti dihayati sebaiknya. Saya yakin ahli Yang Berhormat akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan terhormat seperti yang dituntut institusi luhur ini," katanya.
(Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul)
Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor, pada 9 September lalu, Pakatan Harapan mempertahankan kerusi Parlimen Pulai, selepas Suhaizan memenangi kerusi dengan memperoleh 48,283 undi.
Dalam pada itu, turut mengangkat sumpah jawatan hari ini adalah bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Dewan Negara.
Beliau dipilih sebagai Senator Dewan Negara bagi penggal pertama yang dicalonkan Dewan Undangan Negeri Kelantan.