fb fb fb fb fb

Agenda Transformasi Desa KKDW capai kemajuan 64 peratus

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya/ foto Bernama

PUTRAJAYA, 2 September- Agenda Transformasi Desa yang menggariskan 42 inisiatif bagi memperkasa pembangunan luar bandar dan mengangkat taraf hidup rakyat desa telah mencapai kemajuan sebanyak 64 peratus setakat 31 Ogos 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata pencapaian itu sekali gus meletakkan satu landasan kukuh untuk KKDW mengorak langkah ke hadapan dalam usaha memperkasa ekosistem desa.

"Dari Desa Kirana yang membuka desa kepada dunia pelancongan kepada Tabika Tunas Istimewa yang memberi peluang kepada anak-anak autistik hingga ke Smart Classroom yang membuktikan anak desa juga mampu menjejak arus digital.

"Inilah bukti bahawa ekosistem desa yang kita rancang semakin menampakkan hasilnya. Desa kini perlu melakukan anjakan besar bukan hanya selesa di pinggiran, tetapi gah di tengah pentas ekonomi negara. Semua ini adalah sebahagian daripada arus perubahan yang akan terus mengalir ke hadapan seiring RMK13, PuTERA35 dan Pelan Strategik Kementerian," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini.

Tambah beliau, penganjuran Karnival Mega 3 Dimensi turut melakar kejayaan bersejarah dalam Malaysia Book of Records apabila merekodkan jualan tunai RM16.2 juta serta nilai potensi padanan perniagaan mencecah RM331 juta.

"Begitu juga dengan IKONDESA@Putrajaya yang akan dilancarkan bulan ini. Ia bakal menghimpunkan produk-produk desa untuk pasaran bandar dan pelancongan antarabangsa sekali gus menjadi mercu tanda baharu bagi jenama Produk Desa, Citarasa Dunia yang bakal menghiasi Tahun Melawat Malaysia 2026," jelas beliau.

JALALUDDIN BIN BAHARIN