fb fb fb fb fb

Pemimpin organisasi berperanan penting percepat penggunaan AI

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman pada Majlis Perasmian Persidangan AI Grand Prix 2025 di IPPTAR/ foto Bernama

KUALA LUMPUR, 2 September – Pemimpin organisasi sama ada sektor awam mahupun swasta perlu memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penerimaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, walaupun tenaga kerja bersedia untuk mengadaptasi teknologi baharu, kekangan akan timbul sekiranya pemimpin organisasi tidak memberi galakan serta sokongan dari segi sumber dan proses pengurusan.

Oleh sebab itu, komitmen kepimpinan merupakan faktor penentu dalam memastikan teknologi itu dapat dimanfaatkan secara optimum dalam sesebuah organisasi.

“Maka, pemimpin memainkan peranan yang sangat penting dengan membentuk budaya baharu yang bersikap berhati-hati namun terbuka dan apa yang paling merisaukan ialah fenomena ‘halusinasi AI’, apabila sistem tidak mampu membezakan antara realiti dan fantasi kerana hanya bergantung kepada data yang dimasukkan. Justeru, kita perlu sentiasa berhati-hati,” katanya selepas Persidangan AI Grand Prix 2025 di sini.

Persidangan anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) itu berlangsung hari ini hingga esok.

Ia menjadi platform strategik yang menghimpunkan tokoh akademik, pakar industri, penggiat kreatif dan penggubal dasar bagi membincangkan peranan AI dalam membentuk landskap komunikasi, media serta kepimpinan digital negara.

JALALUDDIN BIN BAHARIN